Berita

SAR mangsa tanah jerlus masuk hari keenam, tumpu pencarian di lokasi kejadian

- Diterbit 28 Ogos 2024 12:53 PM MYT

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, bersambung semula pada pagi ini.

SAR ditangguhkan sementara waktu pada pukul 7.30 malam semalam ekoran hujan lebat yang melanda di kawasan kejadian.

Unit Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pada pagi ini, pasukan SAR akan meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa dengan memberikan tumpuan di kawasan kejadian.

“Pada masa yang sama, kerja–kerja Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi penilaian integriti tanah di laluan saluran kumbahan akan diteruskan dan dijangka selesai pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, mangsa warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Laporan kejadian itu diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas