PENGANJURAN Putrajaya Open Day (POD) yang bakal diadakan pada 1 Februari 2024 bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) yang ke-50 tahun merupakan acara yang amat dinantikan. Lebih istimewa ia juga bersempena ulang tahun ke-28 Perbadanan Putrajaya (PPj) dan pusat pentadbiran Putrajaya yang melangkah ke usia 29 tahun penubuhan.
Pelbagai pengisian menarik diadakan bermula 1 hingga 4 Februari 2024 bertempat di Kompleks PPj bermula pada pukul 9 pagi hingga 11 malam (1 hingga 3 Februari) manakala pada hari terakhir akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang.
POD 2024 merupakan wadah bagi orang awam mendapatkan perkhidmatan kerajaan dalam satu tempat, mengetahui perkhidmatan-perkhidmatan agensi kerajaan yang terkini selain menawarkan pelbagai aktiviti ekonomi dan riadah keluarga untuk memanfaatkan golongan peniaga kecil khususnya penjaja kecil, penggiat industri kreatif tanah air dan juga pekebun bandar yang dapat memasarkan jualan produk mereka pada masa ini.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai POD 2024, ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, TPr NORZITA ABDUL RAZAK.
Apakah matlamat POD pada kali ini?
Objektif penganjuran POD 2024 adalah untuk meningkatkan jaringan sosial antara Perbadanan Putrajaya dengan warga komuniti bagi mewujudkan keharmonian dan kebersamaan di antara PPj dengan semua jaringan masyarakat.
Selain itu, melalui platform ini juga, pihak kementerian, agensi, perbankan, telco dan lain-lain yang terlibat dapat menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar dan perkhidmatan serta produk kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik.
Bukan itu sahaja, ia juga dilaksanakan bagi memberi peluang kepada orang ramai dan pihak berkepentingan untuk menyalurkan aduan, komen dan sasaran untuk penambahbaikan perkhidmatan PPj selain membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan peniaga-peniaga serta merancakkan industri pelancongan Putrajaya.
Apakah tarikan utama penganjuran pada tahun ini?
Terdapat banyak pembaharuan yang kami bawa pada POD 2024 khas untuk pengunjung yang hadir. Sebanyak 10 zon dan kawasan yang akan diketengahkan antaranya Mini Tourism Fair @ Putrajaya, Putrajaya Meowxotica Fiesta, Esports serta Agro Pertanian dan Produk Hiliran.
Dalam masa sama, pengunjung berpeluang hadir ke Wilayah Persekutuan Berselawat 2024 pada 1 Februari ini pada pukul 8 malam. Antara penceramah dan selebriti yang bakal memeriahkan majlis tersebut adalah Habib Nael Ben Taher, Habib Najmuddin Al Khered, Kumpulan Inteam, Hafiz Hamidun dan ramai lagi.
Di samping itu, pihak PPj turut menghimpunkan 80 kementerian dan agensi bagi menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan atau produk kepada orang awam, pemegang taruh dan rakan strategik. Ia adalah bagi menyediakan maklumat, produk pelancongan, kesenian, kebudayaan dan kraf tangan kepada pengunjung yang hadir dengan kerjasama Tourism Malaysia, Kraftangan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.
Lebih menarik, pengunjung yang hadir juga boleh mendapatkan diskaun sehingga 50 peratus bagi saman terpilih seluruh negara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malah pihak kami juga akan mengadakan Kempen Jom Bayar Kompaun/Saman dengan kadar RM10 (kompaun) dan RM30 (bayaran saman) tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain kaunter perkhidmatan daripada pelbagai kementerian, apakah tarikan lain yang bakal menarik minat pengunjung?
Pengunjung akan disajikan dengan 145 booth jualan yang menawarkan pelbagai jenis produk antaranya beauty and wellness; baby and kids; lifestyle and services (travel); fashion and accessories; food and beverages (F&B) dan Jualan Rahmah (Back To School, Kempen Beli Barangan Malaysia serta barang keperluan kering). Kami juga menyediakan 60 buah reruai F&B dengan menu dari pelbagai negeri untuk santapan pengunjung yang hadir.
Buat pertama kali PPj mengumpulkan pelajar dan produk di bawah technical and vocational education and training (TVET) di mana melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah potong rambut, kulinari, bakeri dan pastri, seni reka fesyen, servis membaik pulih telefon dan barang elektrik dan teknologi 3D printer. Seterusnya, program ini juga memberi ruang kepada persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) dari Putrajaya untuk mempamerkan produk mereka. Antaranya Kraftangan Malaysia, Penjara Kajang, Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) dan juga Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.
Di samping itu, turut diadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs @ Putrajaya Open Day 2024 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pertandingan mewarna, pertandingan melukis doodle, pertandingan mereka bentuk blok lego, pertandingan fesyen kanak-kanak menggunakan barang kitar semula, POD Explorace, pertandingan esports, pertandingan zapin, Program Kayuhan Ceria pada 3 Februari dan Berjalan Sihat pada 4 Februari.
Pengunjung juga berpeluang melawat destinasi lain di Putrajaya dengan menaiki Bas Hop-On-Hop Off (Ronda-Ronda Putrajaya) dengan bayaran RM10 yang mana mereka akan duduk di tingkat 2 bas (tanpa bumbung) sambil menikmati keindahan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Sasaran pengunjung yang dijangka datang ke POD 2024?
POD kali ini menyasarkan sebanyak 80,000 pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.
Bagi pengunjung yang hadir, kita akan menyediakan tempat parkir kereta percuma pada hari Khamis dan Jumaat selepas pukul 6 petang hingga malam manakala pada Sabtu dan Ahad percuma dari pagi sampai malam.
Penganjuran POD pada kali ini dilaksanakan oleh PPj sahaja atau ada bekerjasama dengan rakan strategik?
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, POD merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh semua rakan strategik untuk terlibat sama dalam menjayakan acara tersebut, apatah lagi pada tahun ini Sambutan Hari Wilayah dan POD dilaksanakan secara serentak sebagai pembukaan tahun 2024, semestinya aktiviti yang disenaraikan menjanjikan sesuatu yang ‘wow’ kepada pengunjung yang hadir.
Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak kementerian dan agensi di Putrajaya dan Kuala Lumpur selain 80 rakan strategik antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN); Bank Islam Malaysia; Tourism Negeri (Terengganu, Perlis, Melaka, Labuan, LADA, Kelantan), Tourism Malaysia, Produk Pelancongan Putrajaya; Travel Agent; Jabatan Akauntan Negara; Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta ramai lagi.
Harapan bagi penganjuran kali ini?
Saya berharap POD 2024 dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan PPj, kementerian dan agensi awam yang mengambil bahagian; merapatkan lagi kerjasama dan engagement spirit antara kerajaan dan rakyat, merancakkan sektor pelancongan dan membantu menjana pendapatan golongan peniaga kecil, penggiat industri pelancongan dan industri hartanah Putrajaya.
Selain itu, diharapkan program ini dapat memanfaatkan rakyat daripada seluruh negara untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan ditawarkan pada masa ini termasuk keistimewaan diskaun saman dan lain-lain.
Justeru, saya ingin mempelawa dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke POD 2024 kerana pelbagai aktiviti yang disajikan kepada pengunjung yang hadir.
Boleh layari media sosial kami Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.
Jangan lupa untuk hashtag hantaran anda iaitu #POD2024; #perbadananputrajaya; #wilayahuntuksemua dan #malaysiamadani.