SAMBUTAN Hari Malaysia yang disambut setiap tahun harus menjadi cetusan semangat dan manifestasi perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sambutan itu juga menjadi cetusan semangat kecintaan mendalam kepada tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia merentasi kaum, agama dan budaya.
“Selama 61 tahun negara Malaysia yang kita cintai telah terbentuk dan dalam tempoh itu, pelbagai rintangan yang mematangkan telah berjaya kita tempuhi bersama-sama.
“Ayuh semangati erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka, menolak perpecahan serta permusuhan. Menjulang kebersamaan bagi melonjakkan potensi dan keupayaan negara ke tingkat tertinggi,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata 16 September 1963 adalah titik tarikh keramat pembentukan sebuah negara berdaulat Malaysia.
Beliau berkata lebih enam dekad berlalu, Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman sentosa disulami kepelbagaian bangsa, budaya dan agama yang berpadu.
“Kita kekalkan keamanan ini. Malaysia tanah bertuah,” katanya. – WILAYAHKU