Berita

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67: Tambah tempat duduk

- Diterbit 26 Ogos 2024 12:06 PM MYT

KAPASITI tempat duduk awam bertingkat di Dataran Putrajaya akan ditambah bagi menjamin keselesaan orang ramai yang akan berhimpun di kawasan itu bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata tambahan kemudahan itu bertujuan untuk memastikan semua pengunjung yang dianggarkan menjangkau 200,000 orang itu dapat merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

“Secara umumnya kita akan gandakan jumlahnya berbanding tahun lepas. Pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan kemeriahan sambutan itu yang merupakan anjuran sulung Kerajaan Perpaduan.

“Bagi memudahkan dan menambah lagi keselesaan pengunjung pada hari sambutan itu nanti, 14 skrin LED bersaiz gergasi turut ditempatkan di beberapa tempat di sepanjang jalan menghala ke arah Dataran Putrajaya,” ujar beliau.

Sementara itu, Fahmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata perkhidmatan teksi air turut disediakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan parkir ke Dataran Putrajaya.

“Saya difahamkan ada beberapa laluan akan ditutup pada 31 Ogos ini untuk pastikan pengunjung dapat menikmati suasana sambutan Hari Kebangsaan dengan selesa. Jadi, kita sediakan beberapa kemudahan pengangkutan awam termasuk teksi air.

“Terdapat sekurang-kurangnya empat lokasi yang boleh dinaiki pengunjung dan membawa mereka ke lokasi berdekatan dengan kawasan perbarisan serta perarakan,” ujarnya.

Sebanyak 8,000 kerusi serta 100 reruai penjaja disediakan untuk pengujung pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka dipilih sebagai tema sambutan HKHM tahun ini. Raptai penuh sambutan akan berlangsung selama tiga hari dari 27 hingga 29 Ogos ini di Dataran Putrajaya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan raptai penuh disarankan untuk mengikuti arahan pada papan tanda yang disediakan di kawasana tersebut berikutan penutupan jalan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas