Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2024: Manfaat teksi air di lima lokasi

PERKHIDMATAN teksi air mod pengangkutan baharu yang diperkenalkan kepada orang awam
- Diterbit 30 Ogos 2024 4:20 PM MYT

PENGUNJUNG boleh menggunakan perkhidmatan teksi air di lima lokasi sekitar pusat pentadbiran negara pada 31 Ogos ini iaitu di Jeti Monumen, Anjung Floria, Jeti Kelab Tasik Putrajaya, Jeti Ayer 8 dan Jeti Marina.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perkhidmatan itu disediakan khusus kepada orang ramai untuk memudahkan pergerakan dari kawasan parkir ke Dataran Putrajaya bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

“Pada 31 Ogos ini kita sediakan perkhidmatan teksi air secara percuma untuk orang ramai bermula dari pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari. Semua yang hadir untuk Sambutan Hari Kebangsaan seharusnya manfaatkan kemudahan ini,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan pihak  Perbadanan Putrajaya (PPj) turut menyediakan kemudahan cruise tasik dan 80 bas ulang-alik pada 31 Ogos ini.

Sementara itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk memeriahkan Floria Diraja Putrajaya 2024 yang berlangsung sehingga 1 September ini di Persisiran Tasik, Presint 2.

“Kita ambil maklum bahawa Floria Diraja Putrajaya 2024 akan berlangsung sehingga 1 September dan sempena sambutan Hari Kebangsaan nanti, orang ramai boleh ambil kesempatan melawat program ini,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Floria Diraja Putrajaya 2024 bertemakan ‘Raikan Bersama, Celebrate Together!’ mempamerkan lebih 500 jenis orkid daripada pelbagai spesies dan hibrid pelbagai warna termasuk lebih 15 koleksi orkid khas yang terdiri daripada nama-nama Diraja dan orang kenamaan.

Acara itu akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas