Berita

Saloma Kuala Lumpur bantu artis veteran, golongan memerlukan

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Rosmariza Che Umar (kanan) bergambar bersama artis veteran yang hadir pada majlis doa selamat ‘Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat’ Saloma Kuala Lumpur.
- Diterbit 25 November 2024 1:02 PM MYT

PRIHATIN dengan nasib golongan seni yang memerlukan, Restoran Saloma Kuala Lumpur memperkenalkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban ditanggung mereka.

Antara inisitif yang diperkenal termasuk tabung khas bagi membantu insan-insan seni yang berhadapan kesempitan hidup atau menghidap penyakit.

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Rosmariza Che Umar (kanan) bergambar bersama artis veteran yang hadir pada majlis doa selamat ‘Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat’ Saloma Kuala Lumpur.

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Rosmariza Che Umar berkata, tabung khas tersebut akan dibuka kepada pengunjung restoran itu bagi membolehkan mereka menghulurkan sumbangan.

Kata beliau, Saloma Kuala Lumpur bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Restoran Saloma Kuala Lumpur akan menyemarakkan semangat setiakawan yang menjadi pegangan artis-artis lama seperti Puan Sri Saloma dan Tan Sri P Ramlee sendiri.

“Inisiatif ini juga merupakan penghormatan kami kepada legenda seni dan budaya negara serta diharap nama-nama besar ini akan terus hidup dalam ingatan geneasi akan datang, bukan sahaja melalui seni tetapi melalui usaha menyantuni mereka yang masih ada bersama kita,” katanya.

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Rosmariza Che Umar

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis doa selamat ‘Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat’ baru-baru ini.

Menurut Rosmariza, majlis tersebut bukan sahaja bagi memohon rahmat dan keberkatan tetapi turut menjadi platform dalam membantu artis veteran yang telah banyak berjasa kepada industri seni tanah air.

Rosmariza bersama artis veteran popular, Zaiton Sameon

Antara artis veteran yang hadir termasuk Zaiton Sameon; Isma Aliff; Sofia Ibrahim; Mak Jah; Shuib Freedom dan golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim.

Terletak di tengah-tengah ibu negara, Saloma Kuala Lumpur menampilkan gabungan seni kulinari dan budaya warisan Melayu yang turut diinspirasikan oleh keunggulan seni Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Bakal beroperasi selama 24 jam, Saloma Kuala Lumpur juga dilengkapi dengan ruang jamuan eksklusif untuk majlis peribadi, kemudahan parkir yang luas serta pentas mini yang sesuai untuk persembahan secara langsung.

Ia direka dengan elemen seni bina klasik Melayu, lengkap dengan dekorasi yang memaparkan era kegemilangan dua legenda seni negara tersebut.

Muzik latar di restoran ini turut menampilkan lagu-lagu ikonik mereka, mencipta suasana nostalgia bagi setiap tetamu.

Selain suasana unik, Saloma Kuala Lumpur turut menawarkan pelbagai menu istimewa yang menggabungkan resipi Melayu tradisional dengan sentuhan moden.

Hidangan seperti Rendang Istimewa, Sup Ekor Goreng dan Aneka Laksa Saloma serta kuih-muih tradisi adalah antara tarikan utama yang bakal menambat selera pelanggan.

Bakal beroperasi selama 24 jam, Saloma Kuala Lumpur juga dilengkapi dengan ruang jamuan eksklusif untuk majlis peribadi, kemudahan parkir yang luas serta pentas mini yang sesuai untuk persembahan secara langsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas