SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti serta etika kerja melibatkan semua pegawainya terutama kesungguhan dalam membanteras salah guna kuasa.
Untuk itu SPRM memaklumkan seorang pegawainya yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya telah dihadapkan ke Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.
SPRM memberitahu, pegawai terbabit didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.
“Ia berkaitan dengan Op Green iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.
“Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari lalu di Cyberjaya.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” kata SPRM dalam kenyataan pada Selasa.
SPRM menambah, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan terus terpelihara.
Katanya, tindakan itu mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
“SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” tambahnya. – WILAYAHKU