SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang individu disyaki menyalah guna wang pampasan berjumlah kira-kira RM455,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 26 Januari ini dikeluarkan Majistret Galvin Loo Wei Ling selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Bintulu pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang ketua kaum dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2019 hingga 2023.
“Suspek disyaki menyalah guna wang pampasan yang diserahkan oleh sebuah syarikat pembalakan yang sepatutnya disalurkan kepada penduduk rumah panjang berhubung projek pembalakan di kawasan milik penduduk itu,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau turut memberitahu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM9,500 dan satu unit telefon bimbit. – WILAYAHKU