Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Saham MAHB: Negara terima manfaat jangka panjang

- Diterbit 28 Jun 2024 9:10 AM MYT

POLEMIK berhubung pembelian saham milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebanyak 30 peratus oleh Global Infrastructure Partners (GIP) dengan Abu Dhabi Investment Authorithy (ADIA) dilakukan bagi menggagalkan usaha kerajaan dalam meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal memberikan manfaat jangka panjang untuk negara.

Menurut Pengarah Urusan Aswa Advisory Sdn Bhd, Norazizone Norhan, negara akan memperolehi pelbagai manfaat khususnya dalam aspek pengurusan fasiliti penting negara termasuklah peningkatan pelaburan luar dan pembangunan bakat serta profesional tempatan.

“Pelaburan GIP ini akan memberikan manfaat berikutan firma itu berupaya untuk menyuntik dana bagi meningkatkan lagi keupayaan 16 lapangan terbang seluruh negara yang sebelum ini berdepan dengan pelbagai insiden termasuk keselamatan.

“Selain itu, pelaburan itu dilihat dapat meningkatkan imej negara berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat agresif mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama rantau ini, jadi ia menguntungkan negara,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Selasa.

Norazizone menjelaskan, keputusan untuk membenarkan GIP melabur di dalam aset penting negara tidak dibuat dalam tempoh jangka masa pendek bahkan ia melibatkan banyak pihak berkepentingan sepanjang proses berkenaan.

“Jika dilihat dalam isu ini, sebenarnya tiada apa yang pelik bahkan urus tadbir korporat dalam perkara seperti penjualan dan pembelian saham ini mengambil proses yang lama dan perlu mendapat kebenaran daripada beberapa agensi seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia.

“Saya percaya proses ini memakan masa lebih dari setahun dan hanya awal minggu lalu sahaja keputusannya diumumkan oleh agensi bertanggungjawab. Bahkan isu melibatkan BlackRock juga hanya meletus awal tahun ini apabila ia mengumumkan untuk mengambil alih GIP,” katanya.

Menjelas lanjut, Norazizone berkata sebagai syarikat senaraian awam, sebarang urusan MAHB di bawah kawalan SC dan Bursa Malaysia yang mengawal dengan ketat setiap urusan khususnya melibatkan penjualan dan pembelian saham.

“Apabila ada tawaran pembelian dari syarikat bukan senaraian awam, dan dalam konteks ini adalah GIP dan ADIA, kedua-dua agensi akan memperhalusi cadangan tersebut termasuklah soal due-diligence dan keupayaan syarikat berkenaan untuk mengambil alih saham sedia ada,” katanya.

Berhubung kekhuatiran orang awam bahawa ia melibatkan penjualan MAHB, Norazizone menegaskan bahawa ia hanyalah penjualan saham syarikat yang berjumlah kecil sahaja.

“Dari segi bilangan saham yang diambil alih itu, apabila  digabungkan dua entiti milik negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membentuk kira-kira 70 peratus saham yang masih dipunyai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia.

“Manakala baki 30 peratus itu dimiliki oleh GIP dan ADIA malah peratusan saham antara kedua-dua firma asing juga belum dimuktamadkan selain tadbir urus korporat masih berada dalam ketidakpastian,” katanya.

Dalam pada itu, Norazizone berkata tidak wajar mana-mana pihak mempolitikkan keadaan itu berikutan setiap proses yang berlaku  dalam urusan korporat MAHB telah diperhalusi oleh SC dan Bursa Malaysia.

“Isu ini menjadi polemik kerana berlaku Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap dan semua pihak perlu menjadi realistik khususnya berdepan dengan perkara ini,” katanya.

Tambahnya, sekiranya proses ini dihentikan, negara akan menanggung kesan negatif termasuk perlu membayar pampasan sekiranya kerajaan bertindak membatalkan urus niaga tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas