Berita

Sah rumah pelakon Farid Kamil bakal dilelong

- Diterbit 10 Januari 2025 3:06 PM MYT

RUMAH berkembar dua tingkat yang tular bakal dilelong di Bandar Saujana Putra (BSP), Jenjarom pada 22 Januari depan sah milik pelakon terkenal Farid Kamil Zahari.

Perkara itu disahkan pengurus pelakon filem Anwar: The Untold Story itu, Azahari Hamid.

Menurut Azahari, Farid tidak tinggal di kediaman berkenaan sejak 10 tahun lalu dan rumah itu sudah disewakan sejak 2019.

“Sejak disewakan, penyewa mengkreditkan terus wang ke akaun bank pinjaman perumahan.

“Sebelum ini tiada sebarang masalah sehinggalah semalam baru Farid tahu rumah itu bakal dilelong. Itupun setelah pengumuman lelongan heboh di media sosial.

“Kami difahamkan yang penyewa mula culas membayar duit sewa rumah sejak pertengahan tahun lalu,” kata Azahari.

Ujar Azahari lagi, Farid sudah menghubungi penyewa rumah berkenaan dan dia berjanji akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Petang semalam kecoh mengenai kediaman dua tingkat di BSP dipercayai milik aktor terkenal itu bakal dilelong.

Berdasarkan keratan akhbar lelongan harta, nama Farid Kamil Zahari tertera pada ruangan pemegang hak, dipercayai sama dengan nama aktor terkenal itu.

Kediaman seluas 1,760 kaki persegi itu dibeli aktor itu pada 2011 dengan harga RM 300,000 dan bakal dilelong pada harga permulaan RM522,000.-WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas