PERLUMBAAN Sepang 1000KM 2024 (S1K) mencipta sejarah apabila merekodkan penyertaan maksimum 90 kereta sekali gus menjadikannya acara terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, perlumbaan yang bermula pada 21 hingga 23 November ini itu merupakan acara penutup kalendar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun 2024.
“Perlumbaan kali ini menghimpunkan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Australia, Jepun, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Belanda, Singapura, Macau, Vietnam, Hong Kong dan Taiwan, bersaing dalam beberapa kategori termasuk Malaysian Touring Car, S Production G, S Production V dan Vios Enduro.
“Penyertaan terbaik kali ini juga membuktikan bahawa pengiktirafan semakin meningkat terhadap perlumbaan itu selain reputasi litar sebagai destinasi sukan permotoran bertaraf dunia.
“Dalam masa sama, kami teruja menyambut penyertaan pertama dari Belanda di S1K. Dengan peserta dari seluruh dunia, S1K menjanjikan babak menarik dalam sejarah acara ini.
“Saya juga tidak sabar untuk menonton sama ada Toyota dapat mengulangi kejayaan podium mereka, meneruskan rekod cemerlang sejak 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di samping itu, beliau berkata kemeriahan perlumbaan kali ini ditambah dengan penyertaan Proton R3 di grid S1K buat kali pertama sejak 2019, dua buah model baharu Proton S70 R3 yang menggunakan nombor perlumbaan #81 dan #82, menyaksikan empat pelumba dengan tiga daripadanya adalah muka baharu dalam R3.
Perlumbaan S1K dianjurkan oleh PETRONAS SIC dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan disahkan oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), menyaksikan Hankook kali pertamanya menjadi pengedar tayar rasmi untuk perlumbaan kali ini. – WILAYAHKU