Berita

RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 tingkat taraf piawaian kelayakan, ketelusan peguam negara

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Disember 2024 10:35 AM MYT

RANG Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 (“RUU”) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari ini.

RUU itu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang memaklumkan bacaan kali kedua akan dibentangkan pada 9 Disember 2024.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dalam satu kenyataan berkata RUU itu melibatkan penambahbaikan amalan undang-undang di Malaysia dengan pindaan terakhir terhadap Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166] ini telah dilaksanakan lapan tahun lalu.

“Antara lain, pindaan ini merangkumi penubuhan perkongsian guaman liabiliti terhad sebagai model firma guaman baharu, formalisasi Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam, pindaan kepada subseksyen 77(1) bagi membenarkan pengawal seliaan amalan, kesopanan, kelakuan dan tatatertib profesional peguam bela dan peguam cara serta penambahbaikan kepada proses pendaftaran peguam dan latihan praktikal bagi pelatih dalam kamar,” katanya.

Jelasnya RUU ini juga bertujuan untuk meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang (LPQB) dengan memperkenalkan peruntukan tambahan yang membenarkan Ketua Audit Negara melaksanakan audit tahunan terhadap akaun LPQB.

“Kesemua penambahbaikan ini dianggap penting untuk meningkatkan taraf piawaian kelayakan dan ketelusan peguam di negara kita di samping merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menarik minat lebih ramai pengamal undang-undang untuk beramal di Malaysia.

“Selain itu, meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan reformasi terhadap sektor ini,” ujarnya.

Terdahulu, BHEUU dalam kenyataannya Ogos lalu berkata pindaan terhadap Akta 166 dijangka memanfaatkan 23,000 pengamal undang-undang dalam negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas