Berita

RUU pindaan Perlembagaan kewarganegaraan lulus dua pertiga

- Diterbit 17 Oktober 2024 7:06 PM MYT

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

RUU itu berjaya diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat sokongan melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

Ini susulan undian belah bahagian dilaksanakan.

“Keputusan belah bahagian seperti berikut yang bersetuju 206 undi, tidak hadir14 dan satu tidak bersetuju. Satu tidak hadir kerana dalam tempoh pergantungan.

“Jumlah undian adalah 221. Dengan itu, RUU ini diluluskan,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Johari berkata demikian semasa mempengerusikan majlis ketika undian dibuat untuk bacaan kali kedua.

Keputusan majoriti dua pertiga turut diperoleh pada bacaan kali ketiga, dengan 206 undi bersetuju, satu tidak bersetuju dan 14 tidak hadir.

Johari berkata jumlah keseluruhan seramai 221 Ahli Parlimen yang mengundi dan ini sekali gus RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membentangkan RUU itu sebelum ia dibahaskan oleh 70 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Undian secara belah bahagian perlu dilaksanakan bagi RUU itu kerana Perkara 159 Perlembagaan memperuntukkan sesuatu RUU bagi meminda Perlembagaan, selain yang dikecualikan daripada peruntukan itu, hanya boleh diluluskan di Parlimen dengan sokongan tidak kurang dua pertiga pada bacaan kali kedua dan ketiga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas