RANG Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 akan dibentangkan di Parlimen Malaysia pada minggu pertama bulan Mac ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341] merupakan suatu akta untuk membuat peruntukan yang perlu bagi JBPM berfungsi dengan berkesan dan cekap.
“Ia untuk melindungi nyawa dan harta daripada risiko kebakaran, kecemasan dan tujuan-tujuan lain yang berkaitan dengannya.
“Fokus utama pada pindaan kali ini adalah bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan pengurusan dan pengawalseliaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS); Perunding Keselamatan Kebakaran dan Firma Perunding Keselamatan Kebakaran; Orang Kompeten dan Kontraktor Keselamatan Kebakaran; Penyedia Latihan dan Pengajar; Kelengkapan Menentang Kebakaran atau Pepasangan Keselamatan Kebakaran dan Pasukan Bomba Persendirian.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi JBPM akan membentangkan RUU tersebut pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya pindaan terhadap Akta 341 adalah penting bagi membolehkan JBPM terus berkembang sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan kebombaan dan memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian negara melalui pendekatan pelindungan nyawa dan harta daripada risiko kebakaran dan kecemasan. – WILAYAHKU