RANG Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti) sudah melalui proses libat urus yang komprehensif bagi memastikannya teratur dan selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhamad Razak Idris berkata, untuk itu pihaknya mengajak orang ramai supaya merujuk dan menggunakan saluran rasmi jika memerlukan penjelasan lanjut berkaitan perkara tersebut.
“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya mengelak sikap suka mencetuskan provokasi dalam masyarakat awam dengan membincangkan isu-isu berkaitan pemikiran keagamaan yang rumit dan memerlukan kepakaran yang khusus secara terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu beliau menegaskan Pejabat Menteri dan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa terbuka mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak mengenai RUU berkenaan.
Beliau merujuk hantaran media sosial seorang tokoh agama yang mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berdialog terbuka berkaitan RUU Mufti.
“Kita sentiasa terbuka (mengadakan perbincangan) bertujuan bagi mendapatkan input, syor dan pandangan terbaik ke arah memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, semua pihak diseru menggunakan media sosial secara berhemah dan beretika serta menjaga tutur kata agar tidak mengguris perasaan mana-mana pihak.
Katanya, ini demi memelihara kewibawaan dan kehormatan terhadap institusi pentadbiran hal ehwal agama seterusnya menjamin kesejahteraan beragama dalam kalangan umat Islam.
Semalam, Mohd Na’im menegaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa RUU Mufti digubal secara tergesa-gesa adalah tidak benar.
Beliau berkata, ia telah melalui suatu proses penggubalan yang teliti dan panjang.
Malah katanya, Jawatankuasa Penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) telah ditubuhkan sejak 2021. – WILAYAHKU