KEMENTERIAN Komunikasi sudah menyediakan draf Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung rang undang-undang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC), kata Timbalan Menteri berkenaan Teo Nie Ching.
Beliau berkata MJM, yang mengandungi cadangan serta dasar berkaitan rang undang-undang itu, akan dibentang kepada Kabinet dan kementerian seterusnya akan memaklumkan kepada jawatankuasa kerja sementara atau pro tem committee MMC berhubung keputusan Kabinet.
“Jika pro tem committee bersetuju dengan hala tuju rang undang-undang ini, kita akan hantar draf rang undang-undang MMC kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk kelulusan… apabila sudah diluluskan oleh AGC dan sekali lagi (draf) dibentang ke Kabinet serta diluluskan, kita boleh bawa ke Parlimen,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat khas di Wisma Bernama hari ini.
Sebelum ini, Teo berkata kementerian menjangkakan rang undang-undang itu, yang antara lain menggariskan mekanisme kawal selia industri media, dapat dibentang di Dewan Rakyat pada Mac ini.
Ditanya sama ada rang undang-undang itu dapat dibentang pada sesi Dewan Rakyat dari 26 Feb hingga 27 Mac ini, beliau berkata pihaknya optimis ia dapat dibentang mengikut garis masa yang diharapkan.
“Prosesnya masih berlangsung, masih ada peluang untuk kita bentang pada Mac ini… saya tak boleh menafikan mungkin berlakunya kelewatan di sana sini, kalau tidak sempat dibentang pada Mac ini, kita akan bentang dalam persidangan pada Jun,” katanya. – BERNAMA