RANG Undang-Undang Majlis Media Malaysia yang dijangka digubal pada tahun hadapan, antara lain akan menyentuh isu berkaitan hasil pengiklanan kepada organisasi media.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata isu itu penting untuk diperincikan dan diberikan penekanan memandangkan ketika ini hasil daripada iklan hanya dibayar kepada syarikat penyedia platform media sosial dan bukannya kepada organisasi media.
“Saya lihat perlu ada keseimbangan, supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media … (perkara) ini masih dalam perbincangan dan saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan supaya satu suasana yang kondusif dapat dilaksana dan direalisasikan.
“Kita boleh aplikasikan tentang bagaimana kita menguruskan isu berkaitan pelaksanaan 5G sebelum ini yang saya berupaya untuk jemput semua syarikat telekomunikasi duduk berbincang dan akhirnya semua setuju, jadi cara pengurusan itu boleh digunakan dalam ikhtiar selesaikan isu perbelanjaan pengiklanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian ‘Transcending Disinformation: Towards Responsible Media Consumption’ anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di sini hari ini.
Fahmi berkata beliau akan bertemu pengurusan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini, antara lain bagi membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pengarah baharu agensi itu secepat mungkin.
“Sebelum ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah sebut ada pengganti telah dikenal pasti, namun dari segi pentadbirannya sama ada telah berkuat kuasa atau belum itu akan dipastikan dalam perjumpaan hari ini. Tiada tarikh akhir tapi pelantikan ini (Ketua Pengarah J-KOM) akan dibuat sesegera mungkin kerana ia penting, berikan saya sedikit masa,” katanya
Ditanya sama ada pelantikan Ketua Pengarah J-KOM baharu adalah dalam kalangan penjawat awam atau lantikan luar, Fahmi berkata beliau belum mengetahuinya dan perkara itu akan dibincangkan sewaktu perjumpaan hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian Fahmi berkata perbelanjaan pengiklanan ialah satu daripada cabaran serius dan terbesar yang dihadapi media tempatan dengan anggaran kerugian dihadapi pemilik organisasi media kira-kira RM2 bilion daripada jumlah RM4.5 bilion perbelanjaan iklan tahunan kepada tiga gergasi media sosial iaitu Meta, Google dan TikTok.
Beliau berharap platform media sosial akan mengadakan banyak sesi libat urus dengan organisasi media untuk membantu mereka menggunakan platform media sosial dengan berkesan dan cekap. – BERNAMA