Berita

RUU Audit (Pindaan) 2024 diluluskan

- Diterbit 3 Julai 2024 11:15 PM MYT

RANG Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas Akta Audit 1957 (Akta 62) sedia ada tidak dipinda sejak 33 tahun yang lepas.

RUU itu diluluskan pada Rabu setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kulasegaran.

Jabatan Audit Negara dalam satu kenyataan berkata Akta Audit 1957 [Akta 62] sedia ada tidak dipinda sejak tahun 1991 dan perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan terkini yang menyentuh aspek tatakelola dan pengurusan wang awam.

“Ianya juga bertujuan untuk memperkasakan peranan Ketua Audit Negara dalam memastikan fungsi semak dan imbang melalui tiga (3) pengauditan utama iaitu pengauditan penyata kewangan, pengauditan prestasi program atau aktiviti kementerian/jabatan/agensi kerajaan serta pengauditan pengurusan syarikat kerajaan,” katanya.

Tambahnya pindaan Akta Audit 1957 ini akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam

“Di samping itu, memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan, serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.

“Jabatan Audit Negara ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dengan memberi idea dan pandangan demi kepentingan negara berkaitan pengurusan wang awam. Terima kasih juga kepada seluruh ahli dewan yang menyokong pindaan RUU ini.

“RUU ini dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada akhir bulan Julai 2024,” katanya.

Jelasnya lagi pindaan Akta 62 melibatkan lima prinsip pindaan berkaitan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan kepada peruntukan sedia ada.

“Pengauditan badan lain termasuk syarikat di mana Kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk Jaminan Kewangan; pengauditan melalui pendekatan ‘Follow The Public Money Audit’, tertakluk kepada Menteri Kewangan atas dasar kepentingan awam serta mewujudkan suatu peruntukan baharu mengenai kuasa Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang perlu dan suai manfaat bagi menjalankan peruntukan Akta 62.

“Selain itu, kuasa Ketua Audit Negara untuk membuat syor menangani apa-apa ketakteraturan yang serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya dan memperluas kuasa Ketua Audit Negara untuk melaksanakan susulan audit terhadap apa-apa syor, ulasan atau pandangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Awam atau Badan yang ditentukan,” ujarnya.

Terdahulu Bacaan Kali Pertama telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Jun 2024 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sesi Libat Urus Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Ahli Dewan Rakyat Mengenai Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 telah diadakan di Parlimen pada 1 Julai 2024. Seramai 35 orang Ahli Dewan Rakyat daripada Kerajaan dan Pembangkang telah hadir dalam sesi libat urus tersebut untuk mendengar pembentangan dari Ketua Audit Negara (KAN) tentang intipati pindaan yang terkandung dalam RUU Audit (Pindaan) 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas