Berita

Rusuhan di UK bukti masalah berita palsu tidak boleh diambil sambil lewa – Fahmi

Foto: Getty Image
- Diterbit 7 Ogos 2024 6:25 PM MYT

INSIDEN rusuhan di United Kingdom (UK) telah memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa masalah penyebaran berita palsu yang tidak boleh diambil secara sambil lewa, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata kerajaan mengambil maklum tentang gesaan Ahli-Ahli Parlimen di UK berhubung keperluan meneliti isu berkaitan penyebaran maklumat palsu terutama selepas insiden rusuhan yang serius di negara itu.

Beliau berkata kerajaan memantau insiden itu dan mahu ia dijadikan pengajaran buat Malaysia.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini ada berbincang dengan badan kawal selia UK iaitu Ofcom. Saya akan minta MCMC berhubung semula (dengan Ofcom) untuk mendapatkan pandangan mereka,” katanya.

Fahmi  juga berkata penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja) serta berbaur ekstrem adalah meluas di platform media sosial selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

“Di Malaysia, sekurang-kurangnya kita telah banyak mengadakan perbincangan dengan platform media sosial untuk pastikan mereka juga bersifat proaktif dan membantu untuk mengekang penularan berita palsu terutama yang berkait isu 3R,” katanya.

Beliau berkata isu rusuhan di UK turut dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memandangkan terdapat ramai pelajar dan rakyat Malaysia di negara itu.

“Jemaah Menteri dimaklumkan secara umum keadaan adalah terkawal dan pada masa yang sama, beberapa tindakan diusahakan oleh kerajaan UK untuk menjamin keselamatan orang awam,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas