PENGANJURAN Rumah Terbuka Aidilfitri dengan menerapkan tema Semarak Aidilfitri melambangkan keutuhan nilai MADANI yang mencerminkan semangat perpaduan dan muhibah dikalangan masyarakat pelbagai kaum.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, penganjuran itu adalah satu nilai yang merangkul semua, tidak kira latar, tidak kira darjat.
“Hari ini juga melalui program
Semarak Aidilfitri ini, kita menyaksikan bagaimana semangat Syawal ini diterjemahkan dengan kita menyantuni mereka yang memerlukan serta mendekati mereka yang mungkin terpinggir.
“Kerajaan MADANI pada hari ini akan
terus komited untuk memasyarakatkan dasar agar tiada sesiapapun yang terpinggir dari arus pembangunan yang pesat.
“Memasyarakatkan dasar ini bukan satu retorik, tetapi ia adalah satu iltizam yang menuntut keberanian untuk turun ke bawah dan mendengar denyut nadi rakyat,”katanya semasa berucap di Majlis Semarak Aidilfitri 2025, peringkat Labuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud.
Pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu, Zaliha turut berkesempatan menyampaikan bantuan wang tunai kepada 1,000 penerima membabitkan golongan asnaf, anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas.
Jumlah keseluruhan bantuan yang disumbangkan membabitkan sejumlah RM200,000 wang zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). -WILAYAHKU.