Berita

Rumah Terbuka Deepavali: KLDC 2023 berlangsung meriah 

- Diterbit 16 November 2023 9:19 AM MYT

SAMBUTAN perayaan Hari Deepavali atau dikenali sebagai Pesta Cahaya yang disambut pada 12 November (Ahad) lepas diraikan penuh meriah di seluruh negara khususnya oleh penganut agama Hindu .

Namun, kemeriahan sambutan ini turut diraikan oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama termasuklah beberapa sambutan yang juga diadakan oleh  agensi kerajaan mahupun syarikat-syarikat.

Turut mengambil bahagian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menganjurkan Kuala Lumpur Deepavali Celebration 2023 (KLDC 2023) dengan berkonsepkan rumah terbuka bertempat di Flag Pole, Dataran Merdeka.

Ia berlangsung penuh meriah dengan kehadiran tetamu kehormat, para media dan pelancong-pelancong selain dapat menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan kaum India seperti Tarian Bharatanatyam, Bollywood serta demonstrasi keseniaan antaranya Kolam, Henna, Beads termasuklah pertunjukan seni mempertahankan diri masyarakat tersebut iaitu Silambam.

Selain itu, rumah terbuka ini turut menyediakan pelbagai hidangan juadah menarik khususnya makanan tradisional masyarakat india dengan berkonsepkan ruangan kedai seperti nasi minyak, ayam varuvel, putu mayam, rojak mamak, pani puri, idli dan pelbagai lagi.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman berkata program ini diadakan untuk memberi peluang kepada masyarakat Malaysia termasuk pelancong luar negara bersama-sama meraikan Deepavali di samping menikmati jamuan dan persembahan yang disediakan.

“Dengan ini, tetamu berpeluang mendekati dan mengenali lebih dekat akan keunikan budaya dan tradisi kaum India melalui demonstrasi dan aktiviti yang diketengahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ts. Zahir Hassan; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, ketua penggiat industri pelancongqn dan wakil NGO. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas