SEORANG maut, manakala dua cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Merinding, awal pagi hari ini.
Difahamkan, individu meninggal dunia itu merupakan jiran berdekatan yang membantu mangsa semasa kejadian.
Manakala seorang wanita dan remaja perempuan, masing-masing melecur di kaki.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.00 pagi.
“Lapan jentera bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layang-Layangan dikejarkan ke lokasi.
“Menurut laporan awal, kejadian membabitkan sebuah rumah teres didiami tujuh sekeluarga terbakar 80 peratus serta turut memusnahkan dua kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abd Rahman berkata, keluarga itu terdiri tujuh sekeluarga antaranya warga emas dan anak-anak berusia lingkungan empat hingga 13 tahun.
“Api berjaya dikawal jam 5.37 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya – WILAYAHKU