MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata perumahan mampu milik negara antara agenda utama Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Zaliha, mesyuarat itu merupakan high-level council bagi membincangkan isu-isu perumahan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemain industri.
“Ini dalam memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat memiliki rumah sendiri yang berkualiti dengan harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Zaliha berkata dalam mesyuarat itu terdapat beberapa kertas makluman yang dibentangkan antaranya status semasa pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR).
Beliau berkata sehingga 30 September 2024 lalu sebanyak 443,259 unit RMM berada dalam kategori Siap, Bina dan Rancang.
“Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mencadangkan beberapa strategi dan pengesyoran bagi mencapai hasrat kerajaan untuk menyediakan 500,000 unit RMM menjelang tahun akhir RMKe-12.
“PPR juga bakal dijenamakan semula ke Program Residensi Rakyat (PRR) berpandukan konsep pembangunan yang baharu merangkumi penambahbaikan spesifikasi dan ciri daya huni, bersepadu, berkualiti komersial serta mampan,” katanya.
Zaliha berharap usahasama itu terus mekar dalam memastikan usaha kerajaan untuk menyediakan rumah dengan harga berpatutan dan berkualiti tinggi terus berjalan dengan lancar.
“Ini bagi menyelesaikan isu-isu utama yang melibatkan sektor perumahan di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU