RUANG udara Putrajaya akan ditutup selama 60 minit setiap hari mulai 26 hingga 29 Ogos dan 31 Ogos bagi memberi laluan kepada persiapan serta sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)‚ Datuk Kapten Norazman Mahmud‚ ruang udara Putrajaya akan ditutup dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari dari 26 hingga 28 Ogos untuk latihan penerbangan.
Beliau berkata ruang udara di lokasi berkenaan turut ditutup dari pukul 8.45 hingga 9.45 pagi masing-masing pada 29 dan 31 Ogos untuk raptai penuh serta perarakan sambutan hari sebenar.
“Sehubungan itu‚ pengendalian dron di kawasan terbabit penutupan ruang udara sebelum dan pada Hari Kebangsaan adalah dilarang. Ia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini terutamanya yang membabitkan aspek keselamatan orang awam dan pesawat yang sedang beroperasi.
“Larangan itu untuk memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat selain mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.
“Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)‚ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan.
“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98‚ Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs)‚” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh CAAM dan Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau sebarang operasi dron tanpa kebenaran.
JALAN UTAMA DITUTUP
SEBANYAK 21 jalan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup selama enam jam setiap hari bermula 5 pagi pada 26 hingga 29 Ogos ini bagi memberi laluan raptai sambutan Hari Kebangsaaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur‚ Datuk Rusdi Mohd Isa berkata antara jalan terlibat ialah Lebuh Wawasan/Jalan Tun Abdul Razak‚ Lebuh Bestari/Jalan Tun Abdul Razak‚ Jalan P2K/Persiaran Perdana‚ Jalan Pembangunan/Persiaran Perdana dan Jalan PC/Persiaran Perdana.
“Pada 30 Ogos‚ penutupan jalan bermula 7 petang melibatkan laluan ke Core Island dan 10 jalan utama akan ditutup sepenuhnya pada 31 Ogos bermula 5 pagi sehingga acara sambutan selesai.
“Laluan yang terlibat termasuk Persiaran Barat dan Lebuh Sentosa (arah Lebuh Saujana)‚ Lebuh Sentosa dan Jalan Presint 8 (arah Lebuh Wawasan)‚ Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah susur ke Laman Perdana‚ Jalan Presint 18 (arah Lebuh Bestari)‚ Jalan Presint 18‚ Lebuh Setia dan Lebuh Saujana (arah Jalan Tun Hussein) serta Jalan Presint 5 (arah Lebuh Gemilang Perdana)‚” ujarnya.
KESELESAAN PENGUNJUNG
KAPASITI tempat duduk awam bertingkat di Dataran Putrajaya akan ditambah bagi menjamin keselesaan orang ramai yang akan berhimpun di kawasan itu bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi‚ Fahmi Fadzil berkata tambahan kemudahan itu bertujuan untuk memastikan semua pengunjung yang dianggarkan menjangkau 200‚000 orang itu dapat merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.
“Secara umumnya kita akan gandakan jumlahnya berbanding tahun lepas. Pada sambutan Hari Kebangsaan 2023‚ lebih 100‚000 pengunjung hadir menyaksikan kemeriahan sambutan itu yang merupakan anjuran sulung Kerajaan Perpaduan.
“Bagi memudahkan dan menambah lagi keselesaan pengunjung pada hari sambutan itu nanti, 14 skrin LED bersaiz gergasi turut ditempatkan di beberapa tempat di sepanjang jalan menghala ke arah Dataran Putrajaya,” ujar beliau.
Sementara itu, Fahmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata perkhidmatan teksi air turut disediakan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memudahkan pergerakan pengunjung dari kawasan parkir ke Dataran Putrajaya.
“Perkhidmatan teksi air adalah antara mod pengangkutan yang disediakan bagi memudahkan orang ramai hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
“Sebanyak enam buah teksi air dan tiga cruise tasik disediakan secara percuma untuk orang awam hadir menyaksikan sambutan hari berkenaan. Orang awam boleh menaiki teksi air di dua laluan iaitu Laluan 1 membabitkan Jeti Ayer 8 – Jeti Monumen, manakala Laluan 2 pula ialah Jeti Kelab Tasik – Jeti Monumen.
“Bagi laluan 3 (cruise tasik) pula adalah Jeti Marina – Jeti Anjung Floria. Perkhidmatan itu ditawarkan percuma bermula pukul 5 pagi hingga 12 tengah hari 31 Ogos sahaja‚” ujarnya. – WILAYAHKU