Fokus

Ruang pembelajaran interaktif

- Diterbit 22 Disember 2023 12:10 PM MYT

BERKELUASAN 1,336 meter persegi dan mampu memuatkan seramai 300 orang dalam satu masa, Pustaka KL Digital Madani @ Bandar Sri Permaisuri menawarkan pelbagai perkhidmatan pembelajaran dan bahan bacaan secara digital menerusi akses rujukan yang disediakan.

Pustaka ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu perkhidmatan secara fizikal merangkumi bilik perbincangan, ruang bacaan dan perkhidmatan secara atas talian (online) yang boleh dipecahkan lagi kepada enam platform iaitu Buffet@PKL, KL Elib, U-Pustaka PNM Overdrive, Ulangkaji Via MyGuru, Koleksi Gambar Digital PKL dan Perkhidmatan Pangkalan Data U-Pustaka.

Ketua Bahagian Pengurusan Perkhidmatan Perpustakaan, Shaharizad Adanan berkata Buffet @PKL dan KL Elib merupakan dua aplikasi yang menyediakan lebih 14,000 bahan bacaan terdiri daripada surat khabar, novel dan majalah untuk diakses secara percuma melalui peralatan pintar dan boleh dipinjam.

SHAHARIZAD

“Kedua-dua ini menawarkan perkhidmatan yang sama tetapi bezanya di Buffet@PKL menawarkan akhbar dan majalah baharu dan lama antaranya, Wilayahku dan sebagainya.

“Kita juga turut menyediakan aplikasi MyGuru iaitu sebuah aplikasi yang menyediakan nota-nota pembelajaran mengikut sukatan pelajaran terkini dan bank soalan peperiksaan bagi memudahkan para pelajar meningkatkan kefahaman dan ilmu terhadap mata pelajaran.

“Untuk aplikasi ini, kita ada 40 lesen dan hanya ditawarkan kepada first come first serve. Sesiapa yang berdaftar akan diberikan ID dan mereka boleh mendapatkan nota ringkas, latihan interaktif serta soalan kuiz di aplikasi tersebut,” katanya ia tertumpu kepada soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Shaharizad berkata PDM @ Bandar Sri Permaisuri di bawah Perpustakaan Kuala Lumpur juga merupakan salah satu konsortium dalam projek U-Pustaka yang bekerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia dengan membekalkan lebih 4,476 buku elektronik (e-book) pelbagai bidang perkara melalui OverDrive.

“OverDrive lebih tertumpu kepada koleksi bahan bacaan berbahasa Inggeris yang diperoleh daripada bahan cerita di luar negara. Terdapat 140 judul buku audio dan 98 buku read along di mana semuanya percuma.

“Selain itu, PDM juga menyediakan platform Koleksi Gambar Digital PKL iaitu pelanggan yang berdaftar boleh mendapatkan koleksi gambar lama dan baharu Kuala Lumpur secara percuma dan turut menyediakan perkhidmatan Pangkalan Data U-Pustaka menerusi lebih 36 pangkalan data untuk diakses,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharizad turut memberitahu pihak MRCB juga telah menaja beberapa aplikasi berkonsepkan educational games dengan kos sebanyak RM30,000 bagi menambah koleksi digital di perpustakaan ini. – WILAYAHKU

Foto oleh SHUAIB AYOB

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas