RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menafikan dakwaan tidak menyiarkan secara langsung aksi pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata perlawanan Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian disiarkan secara langsung di saluran Okey pada Khamis, 8.50 malam hingga 9.30 malam.
“Terdapat perlawanan atlet Israel menentang pemain Nepal melalui saluran Olimpik 4 RTMKlik yang tidak sengaja disiarkan kurang daripada lima minit.
“Bagaimanapun, RTM telah mengambil tindakan segera menukar siaran ke acara lain iaitu acara bola baling,” katanya dalam satu kenyataan.
Suhaimi berkata, RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui dua saluran utama iaitu TV Okey dan saluran Sukan selain enam saluran khas di RTMKlik
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meminta RTM memberikan penjelasan selepas terdapat dakwaan stesen televisyen itu tidak menyiarkan perlawanan membabitkan pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara.
Sebelum ini, seorang pengguna laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati apabila RTM sebagai badan penyiaran nasional tidak menyiarkan aksi Zii Jia menentang pemain ke-62 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian, sebaliknya menyiarkan perlawanan antara atlet Israel, Misa Zilberman dan atlet Nepal Prince Dahal.
Untuk rekod, RTM merupakan penyiar rasmi temasya sukan berprestij Olimpik Paris selama 17 hari tanpa henti secara percuma.
Acara-acara Sukan Olimpik Paris boleh ditonton secara langsung menerusi saluran TV Okey dan Sukan TV RTM dan live streaming Olimpik juga disiarkan melalui aplikasi RTM Klik. – WILAYAHKU