BERMULA daripada sekecil-kecil bisnes kepak ayam kini siapa sangka beliau merupakan seorang usahawan yang memiliki multi-million dollar business. Ia merupakan satu pencapaian hebat yang berjaya dibuktikan oleh Datuk Seri Rozita Ramelan.

Memiliki pelbagai rangkaian perniagaan antaranya Kabinet Prive di Malaysia‚ Hong Kong dan Singapura yang menjual aksesori mewah dan mempunyai pelanggan tetap berprofil tinggi di merata dunia‚ beliau tidak pernah lokek berkongsi perjalanan hidup yang baginya cukup bermakna untuk dijadikan inspirasi terutamanya bagi golongan wanita.
“There is no shortcut to success as the struggles are real. Saya bermula dengan berniaga kepak ayam dan kerepek secara separuh masa ketika bekerja dengan Citibank Berhad. Waktu itu gaji pokok RM1‚500 jadi itu sahaja cara yang saya tahu untuk menyara diri dan membantu keluarga.
“Gerai saya ketika itu di Cheras‚ Manjalara dan Subang Jaya. Kemudian‚ saya mengusahakan agensi perundingan pelaburan bersama dua rakan lama dari Citibank. Daripada awal hingga hari ini‚ saya banyak menceburi bidang yang dimonopoli kaum lelaki namun saya lihat kejujuran dalam perniagaan membawa diri hingga ke tahap hari ini.
“People may like you but people will not do any business until they trust you. Daripada situ juga muncul kesungguhan. Bangkit dan belajar daripada kesalahan diri dan orang lain. Bagi saya wanita ialah ciptaan Allah yang istimewa‚ tangan yang menghayun buaian juga mampu menggegar dunia‚” ujar beliau kepada Wilayahku.
Bercerita lanjut mengenai perniagaan aksesori dan beg berjenama mewah yang diusahakan‚ Rozita berkata‚ sesetengah individu melihat beg tangan berjenama sebagai pelaburan namun ada juga yang menjadikannya koleksi peribadi.
“Walau apapun yang ditafsirkan mengikut pandangan tersendiri‚ saya yakin sesiapa yang mahu pasti mampu memilikinya. Penggemar Hermes tahu pelaburan untuk memiliki tas idaman dan tempoh masa menunggu‚ untuk itu tidak hairanlah‚ harganya bukanlah ukuran paling utama. In fact‚ to them‚ time is money‚” ujar beliau.
Untuk itu‚ Kabinet Prive ialah jalan penyelesaian singkat bagi mendapatkan koleksi yang sukar diperoleh di butik; daripada koleksi asas hinggalah ke edisi terhad yang hanya dikeluarkan satu sahaja di dunia.
“Selain itu‚ pelanggan Kabinet Prive tidak perlu menunggu berjam-jam di butik kerana khidmat private concierge kami akan menghantar tas tangan terus ke alamat yang diberi‚” kongsi beliau.
Mengakui setiap kejayaan yang dikecapi pasti ada cabaran tersendiri‚ Rozita berkata beliau belajar daripada setiap pengalaman yang berharga dalam hidup untuk dijadikan pengajaran pada masa-masa akan datang.
“Saya pernah gagal dalam menilai peribadi rakan kongsi. Prestasi perniagaan boleh dilihat melalui angka di dalam audit. Tetapi jika melibatkan peribadi seseorang bagaimana pula?”
“Sukar untuk menilai sesuatu yang tidak dapat dilihat secara ketara. Saya bukan jenis orang yang cepat menilai‚ tetapi saya belajar daripada pengalaman yang menyakitkan‚” ujarnya yang pernah menerima anugerah Ikon Wanita‚ Asia Pacific Fast Moving Award untuk Kabinet Prive‚ dan The Best Cooking Ingredients di Asian Halal Brand Awards untuk produk keluaran beliau iaitu Rasa Rosz Sdn Bhd.