PROJEK River of Life (ROL) kini hampir mencapai fasa penyiapan penuh dengan prestasi fizikal keseluruhannya mencecah 95.52 peratus setakat 31 Disember 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata kerajaan komited untuk memastikan projek berimpak tinggi ini diselesaikan mengikut perancangan menerusi penyelarasan rapi oleh Delivery Management Office (DMO) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
“DMO akan terus memainkan peranan utama dalam mengkoordinasikan keseluruhan pelaksanaan ROL dengan mesyuarat penyelarasan diadakan setiap tiga bulan melibatkan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
“Bagaimanapun, baki kerja-kerja pemuliharaan sungai akan diteruskan sehingga 2030 dengan penekanan kepada projek kritikal yang mampu memberi impak maksimum kepada kualiti air serta aspek pengindahan yang menawarkan pulangan nilai tinggi,” katanya dalam jawapan di Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang bertanya mengenai perancangan khusus Kerajaan untuk menyiapkan baki kerja-kerja pemuliharaan sungai di bawah projek ROL menjelang 2030 termasuk penambahbaikan aspek pengurusan dan penyelenggaraan tapak ROL serta garis masa pelaksanaannya.
Zalia menjelaskan bahawa projek ROL kini berada pada tahap kemajuan 96.16 peratus bagi komponen pembersihan sungai, manakala kerja-kerja pengindahan pula mencapai 93.96 peratus.
Mengambil kira teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024, Zaliha berkata kerajaan kini memfokuskan kepada projek yang benar-benar memberi kesan langsung terhadap pemulihan kualiti air di Sungai Klang dan Sungai Gombak.
“Pendekatan ini bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan mempunyai nilai pulangan yang jelas dalam menjayakan transformasi sungai menjadi ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan mekanisme penyelenggaraan tapak ROL yang telah siap turut dirangka bagi memastikan pengurusan aset dilakukan secara sistematik dan mampan dan agensi penyelenggara akan dilantik mengikut kepakaran masing-masing berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Bagi memastikan baki kerja-kerja disiapkan mengikut jadual, kerajaan juga akan mengadakan mesyuarat segera sekiranya terdapat isu kritikal yang perlu diselesaikan.
“Kami mahu memastikan semua cabaran ditangani dengan pantas agar projek ini dapat mencapai objektifnya menjelang tahun 2030,” tambah Zaliha.
Projek ROL merupakan sebahagian daripada Entry Point Project (EPP) di bawah National Key Economic Areas (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Klang Valley, bertujuan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan persekitaran berkualiti tinggi dengan nilai ekonomi yang tinggi.
Dengan perancangan strategik serta pengurusan ketat, kerajaan yakin projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih lestari serta tarikan pelancongan yang ikonik di ibu negara.-WILAYAHKU