Berita

Rock Warrior Music Festival tangguh ke Mei tahun depan

- Diterbit 11 November 2024 11:30 AM MYT

ROCK Warrior Music Festival (RWMF) yang sepatutnya berlangsung pada 23 dan 24 November ini, di KL Base, Sungai Besi ditunda ke Mei tahun hadapan.

Festival anjuran rumah Produksi Merah Sdn Bhd milik legenda rock tanah air, Datuk Awie itu dibatalkan selepas mengambil kira ramalam cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan lebat dan risiko banjir di kawasan berekaan dan negeri lain di Malaysia.

“Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

“Sebagai penganjur, keselamatan peminat dan kelancaran festival adalah keutamaan kami.

“Selain daripada itu, kami juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir,” memetik kenyataan media dikeluarkan penganjur.

Penjadualan semula ke bulan Mei itu dijangaka dapat memberi peluang kepada penganjur membuat persiapan lebih menyeluruh, sekali gus dapat menawarkan pengalaman festival yang memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pemahaman diberikan.

“Semua pembelian tiket yang dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu, dan kami akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial kami,” memetik kenyataan itu lagi.

Rock Warrior Music Festival bakal menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC yang akan mempersembahkan lagu-lagu hit mereka dari era kegemilangan rock sehingga kini.

Festival itu menghimpunkan band rock tanah air dalam satu persembahan yang bertenaga dan penuh nostalgia.

Objektif Rumah Produksi Merah menganjurkan festival itu adalah bagi menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock, serta menyatukan generasi lama dan baru peminat muzik genre berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas