Berita

RM7.356 juta diperuntukkan babitkan 613 keluarga insiden kebakaran saluran paip gas Putra Heights

- Diterbit 8 April 2025 10:45 AM MYT

SERAMAI 219 keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu telah pun didaftarkan di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Mangsa akan menerima bantuan masing-masing daripada Kerajaan Persekutuan dan Petronas melalui Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan media berkata, pemilik rumah bakal menerima bantuan mengikut kategori.

“Rumah yang musnah sepenuhnya bakal menerima bantuan sebanyak RM 10,000. Bagi pemilik yang rumahnya separuh musnah pula akan menerima bantuan sebanyak RM 5,000.

“Penyewa rumah juga layak menerima bantuan sebanyak RM 5,000.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan bagi membolehkan mereka menyewa, sementara rumah sedang diperbaiki ataupun dibina semula,” katanya.

Peruntukan bantuan adalah dianggarkan sebanyak RM7.356 juta membabitkan 613 keluarga secara keseluruhannya.

Amirudin juga berkata, nilai kerugian dan kerosakan kediaman yang terlibat dianggarkan sebanyak RM65.4 juta dengan 437 rumah dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden terbabit.

Berdasarkan pemerikaan daripada pasukan teknikal yang turun dari rumah ke rumah, 81 rumah disahkan dalam kategori musnah sepenuhnya, 81 lagi separa musnah, 57 terbakar tetapi tidak mengalami kesan pada struktur mankala 218 rumah tidak terjejas.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas