Berita

RM4.6 juta naik taraf padang

- Diterbit 23 Oktober 2024 1:43 PM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka menerima peruntukan penuh RM500,000 bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput.

“Perlis dan Kedah pula masing-masing hanya menerima RM300,000 kerana hanya mahu menaik taraf sistem saliran dan tidak mahu menukar rumput.

“Empat lagi negeri tidak terima peruntukan iaitu Johor kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu terima peruntukan kerana tidak perlu naik taraf saliran dan tidak mahu tukar rumput.

“Sarawak minta ditunda kerana mereka tidak boleh jalankan kerja sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 disempurnakan,” ujar beliau.

Hannah berkata garis masa untuk kerja-kerja naik taraf itu diselesaikan adalah sehingga Jun tahun depan.

Sementara itu, beliau berharap lapan negeri yang menerima geran penuh akan menggunakannya berdasarkan skop yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan ke atas perjalanan liga pasukan di negeri masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas