Berita

RM300,000 untuk program khidmat sosial golongan sasar di Perak

- Diterbit 7 November 2024 10:49 AM MYT

KERAJAAN memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan tiga program khidmat sosial di Perak bagi tujuan mengurangkan beban kos sara hidup golongan sasar, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata seramai 432 orang penduduk Kampung Orang Asli Redang Punggor Chenderong Balai, Pasir Salak telah menerima bantuan dari peruntukan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya di Perak semalam.

“Saya ucapkan penghargaan yang tidak terhingga atas sambutan mesra dari orang asal di sini yang telah berkongsi tentang adat dan tradisi orang asli melalui persembahan tarian mereka.

“Saya akan kembali menziarahi kampung ini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata tiga program khidmat sosial adalah Program Bantuan Ihsan Madani, Sumbangan Madani Murid Pendidikan Khas dan B40 serta Kursus Penternakan Ayam Kampung dan Bancuhan Dedak.

Beliau berkata bantuan itu turut disalurkan kepada negeri lain namun bergantung kepada permohonan dan keperluan.

“Perak merupakan lokasi kelima kita sampaikan bantuan.

“Sebelum itu bantuan sama disalurkan di Kedah, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak, katanya.

Menurut Azman sumbangan disalurkan itu membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Anwar sentiasa prihatin dan cakna dengan keperluan rakyat dalam pelbagai aspek.

Bagaimanapun, beliau berharap sumbangan yang diberikan itu harus digunakan dengan bijak untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas