Berita

RM300 juta diperuntuk bagi jalin kerjasama projek pertanian

- Diterbit 18 Oktober 2024 5:05 PM MYT

SEBANYAK RM300 juta disediakan bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menokok ketimbang 150 juta tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara kelemahan ketara negara adalah kebergantungan yang tinggi kepada import makanan walhal punyai kesuburan tanah dan kemampuan meningkatkan keterjaminan makanan negara.

“Sebanyak RM300 juta disediakan antaranya untuk menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.

“Kerajaan bersama badan swasta akan memanfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata sejumlah RM27 juta turut disediakan sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.

Jelasnya Agrobank turut menyediakan kemudahan pinjaman RM200 juta kepada pengusaha agromakanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas