Berita

RM253 juta TMP diluluskan kepada 150 koperasi

- Diterbit 26 November 2024 5:03 PM MYT

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) berjumlah RM253.37 juta kepada 150 koperasi di seluruh negara setakat November tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata dalam tempoh yang sama, SKM turut meluluskan sebanyak RM12.23 juta dalam bentuk geran kepada 155 koperasi.

“Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensi kita seperti SKM, akan terus komited untuk membantu gerakan koperasi bagi memastikan koperasi di seluruh negara ini memberi sumbangan kepada aktiviti ekonomi negara.

“Program-program pembiayaan ini akan dilanjutkan pada tahun akan datang. Dana tambahan di bawah Belanjawan 2025 sedang dimuktamadkan dan diharap dapat terus mengangkat gerakan koperasi pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh mengenai perkembangan cadangan pindaan Akta Koperasi, Ewon berkata, KUSKOP sedang menjalankan libat urus melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi membincangkan perkara itu.

“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan pindaan ini, dan hasilnya turut dibincangkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan pada Julai lepas,” katanya.

Tambahnya KUSKOP kini dalam peringkat akhir memuktamadkan dasar-dasar penting berkaitan pindaan Akta Koperasi sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, ini diikuti dengan sesi libat urus bersama gerakan koperasi dan ahli Parlimen yang akan dijalankan bagi memastikan penyediaan draf pindaan ini lebih menyeluruh.

“Saya mensasarkan pembentangan cadangan dasar kepada Kabinet pada penghujung tahun ini, sebelum ia diangkat ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas