Berita

RM25 juta naik taraf pusat sampah

TAPAK Pelupusan Sisa Pepejal Bukit Kalam tidak mampu menampung pembuangan sisa sampah.
- Diterbit 5 November 2024 10:45 AM MYT

SEJUMLAH RM25 juta diperuntukkan Perbadanan Labuan (PL) dalam usaha menambah baik Pusat Sampah Kampung Bukit Kalam.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran PL, Gilbert Chin Hsing Lin, setiap hari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal menerima purata 100 hingga 150 tan sampah dan jelas menunjukkan pusat pelupusan tersebut tidak mampu menampung peningkatan sisa sampah dalam masa terdekat.

“Jika dilihat secara relatifnya, jumlah ini adalah masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah sisa pepejal yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan  (PBT) di luar Labuan.

“Namun, jika diteliti secara mendalam, jumlah keluasan tapak pelupusan begitu terhad selain pertambahan sisa pepejal yang dilupuskan tinggi,” ujar beliau.

Tambahnya menerusi Rancangan  Malaysia Ke-12, PL kini sedang melaksanakan projek menaik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Kalam dengan kos melebihi RM25 juta dan kita menjangka projek tersebut siap pada tahun depan.

“Tujuan projek tersebut untuk memastikan pengurusan sisa pepejal di Labuan dapat dilaksanakan dengan efektif, sistematik dan berkesan,” katanya pada Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Labuan.

Mengulas lanjut, beliau menekankan tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar harus melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk sektor industri dan komuniti.

“Terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengambil jalan mudah membuang sampah kasar di tempat yang tidak sepatutnya dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Kita nasihatkan kepada pihak-pihak tersebut agar memberikan kerjasama untuk membuang sampah sisa pepejal di tapak pelupusan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas