YAYASAN Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan awal sebanyak RM200,000 bagi meringankan beban mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu adalah tanda solidariti dan keprihatinan kerajaan terhadap nasib mereka yang terkesan akibat insiden berkenaan.
“Saya sendiri turun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dan mendengar kisah mangsa yang benar-benar menyentuh hati.
“Bantuan ini bukan sekadar angka, tetapi usaha kecil kami untuk membantu mereka yang sedang diuji dengan musibah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang bertungkus-lumus membantu sejak awal kejadian serta berdoa agar mangsa terus diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus hadir bersama rakyat dalam apa jua keadaan, baik susah mahupun senang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan membantu mereka yang memerlukan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 2:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Dalam kejadian kebakaran paip gas itu, beberapa rumah mengalami kerosakan teruk, menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS yang disediakan pihak berkuasa. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.-WILAYAHKU