Berita

RM2 juta tuntutan meragukan Skim Perubatan Madani dibatalkan

- Diterbit 20 Februari 2025 1:30 PM MYT

SEBANYAK 46 klinik perubatan am (GP) telah ditamatkan perkhidmatan setelah terbukti melanggar terma Skim Perubatan Madani (SPM).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata langkah tegas ini diambil susulan siasatan rapi oleh ProtectHealth, badan pelaksana SPM, bagi mengekang penipuan tuntutan dalam skim tersebut.

“Sejumlah RM2 juta tuntutan yang meragukan telah dibatalkan setelah semakan semula dijalankan, manakala tiga klinik GP telah memulangkan semula bayaran tidak sah berjumlah kira-kira RM180,000.
“Selain itu, sepanjang tahun 2024, sebanyak 4,002 tuntutan oleh panel GP lain turut ditolak dengan nilai keseluruhan sekitar RM350,000,” kata KKM dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut KKM, pihaknya telah memperketat prosedur operasi standard (SOP) tuntutan melalui mekanisme kawalan lima peringkat Line of Defence (LOD) yang lebih ketat.

“Antaranya termasuk penggunaan sistem peraturan pengekodan automasi (auto coding) melalui kaedah ICD10 serta machine learning, semakan manual oleh pegawai pemeriksaan dan pengesahan tuntutan, serta pengauditan berkala oleh pasukan audit medikal ProtectHealth,” katanya.

Menurutnya, untuk memastikan ketelusan, ProtectHealth turut mengesahkan kehadiran pesakit, diagnosis, ubat-ubatan, penyiasatan serta prosedur melalui panggilan telefon kepada pesakit yang menerima rawatan.

“Aduan daripada pesakit turut diambil kira dalam menilai ketelusan tuntutan yang dikemukakan.

“Tindakan lebih tegas seperti penolakan tuntutan, pengeluaran Surat Tunjuk Sebab, serta penggantungan sementara perkhidmatan panel GP akan terus dilakukan sekiranya wujud unsur penipuan dalam tuntutan mereka.

“ProtectHealth akan sentiasa memantau kes penipuan dalam SPM bagi memastikan skim ini kekal mampan dan dapat memberi manfaat kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” tegasnya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas