Artikel

RM2.5 juta untuk 123 buku

- Diterbit 31 Disember 2024 11:26 AM MYT

SEJUMLAH RM2.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia MADANI kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bagi penerbitan 123 buah buku di bawah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI.

Ia membabitkan pelbagai genre penulisan sastera antaranya kumpulan cerpen‚ puisi‚ esei dan buku bergambar kanak-kanak.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan‚ Muhammad Kamil Abdul Munim‚ meskipun peruntukan tersebut merupakan suatu jumlah yang kecil namun ia bertujuan bagi memajukan industri kreatif terutama bidang penulisan di negara ini.

“Jumlah tersebut adalah kecil bagi sebuah kerajaan. Bagaimanapun‚ ia sumbangan yang amat bermakna sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Malaysia MADANI pimpinan Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sastera negara‚” tegas beliau dalam ucapan perasmian Malam Kemuncak Penulis Malaysia dan Pelancaran Penerbitan 123 Buku PENA-Malaysia MADANI baru-baru ini.

Beliau berkata‚ hal itu dibuktikan apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2025 untuk membantu segala usaha memartabatkan sastera budaya negara.

Katanya‚ pelancaran 123 buku itu disifatkan sebagai satu pencapaian yang amat baik kerana berjaya melepasi sasaran awal ditetapkan kerajaan.

“Saya kira ini adalah pencapaian yang baik. Dalam tempoh masa yang cukup singkat tetapi berjaya hasilkan satu jumlah buku yang banyak.

“Pastinya pihak kerajaan akan beri perhatian lebih dan ini bermakna kita ada komitmen yang jelas dan juga usaha yang berterusan‚ koordinasi yang baik dan ini harus sentiasa diberi sokongan dan dokongan‚” katanya.

Tambah beliau proses penerbitan kesemua buku dijangka selesai Februari tahun hadapan‚ selepas proses mengumpul manuskrip selesai November lalu.

Dalam pada itu‚ Muhammad Kamil turut mengingatkan‚ isi tulisan yang dihasilkan mestilah asli dan boleh dipertanggungjawabkan.

“Cerita palsu yang merosakkan perlu dibanteras. Oleh sebab itu‚ kerajaan cuba membawa kebaikan dalam segala aspek termasuklah bidang penulisan. Perdana Menteri mahu penulisan yang membawa kebaikan diteruskan‚” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuh kedudukan sastera sebagai teras pembangunan tamadun dan penggerak pemikiran masyarakat‚ turut diadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) III dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) IV telah diadakan bertempat di Hotel Royal Park @ UNITEN Bangi‚ Selangor.

Bertemakan Penulis Teras Malaysia MADANI‚ program anjuran PENA bersama-sama beberapa persatuan dan agensi kerajaan itu menjadi platform penting dalam memperkasa peranan penulis dalam era Malaysia MADANI ini.

PERHIMPUNAN BERSEJARAH 300 PENULIS

PENA dalam satu kenyataan memaklumkan‚ acara tiga hari itu menghimpunkan tokoh-tokoh sastera‚ penulis muda‚ sarjana dan penggiat seni dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan sastera‚ teknologi dan pembangunan masyarakat.

“SKPM III dan PPMN IV diadakan berlandaskan misi untuk memperkukuh nilai sastera kebangsaan dan mengangkat suara penulis sebagai ejen perubahan.

“Ia bukan sekadar perhimpunan intelektual tetapi juga satu deklarasi bahawa penulis Malaysia mempunyai peranan penting dalam mendepani cabaran globalisasi dan teknologi.

“Penulis adalah penyampai nilai‚ penjaga tradisi dan pencetus perubahan di mana kedua-dua program tersebut menjadi wadah pencetus inspirasi kepada semua penulis untuk terus berkarya demi memartabatkan sastera dan memperkukuh jati diri bangsa‚” katanya.

Terdahulu‚ SKPM III dan PPMN IV diadakan pada 18 hingga 20 Disember 2024 disertai kira-kira 300 orang penulis pelbagai genre.

Pelbagai program berimpak tinggi diadakan merangkumi aspek pembentangan makalah‚ pendeklamasian puisi‚ persembahan kesenian‚ pelancaran buku dan banyak lagi.

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas