Berita

RM2.5 juta bina pusat penjaja selaras inisiatif Kerajaan MADANI

FADLUN (kanan) ketika merasmikan Pusat Penjaja Putrajaya.
- Diterbit 16 Disember 2024 5:38 PM MYT

SEBANYAK RM2.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi membangunkan empat Pusat Penjaja Putrajaya yang melibatkan empat lokasi iaitu setiap satu di Presint 9, 15, 17 dan 18.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, projek ini telah dilaksanakan bermula Ogos 2023 yang mana ia melibatkan dua komponen iaitu pembangunan empat tempat teduhan dan pembinaan 18 buah kios berkonsepkan food trailer lengkap dengan kemudahan memasak.

“Alhamdulillah, pelaksanaan projek ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada Mei 2024 iaitu dalam tempoh kurang dari setahun dan telah memulakan operasi sejak Ogos lalu.

“Dengan pengoperasian kesemua 18 kios di Pusat Penjaja secara dua sesi setiap hari memberi peluang kepada lebih ramai penjaja untuk menjana pendapatan dengan kadar sewaan rendah sekitar RM200 sebulan.

“Secara tidak langsung ianya juga memberi kemudahan dan pilihan kepada warga dan pengunjung Putrajaya untuk mendapatkan jenis makanan yang berbeza mengikut sesi apatah lagi kedudukan kesemua Pusat Penjaja ini yang bersebelahan dengan jalan utama memudah dan menjimatkan masa pembeli untuk singgah membeli secara grab n go,” katanya semasa Majlis Perasmian Pusat Penjaja Putrajaya dan Penyerahan Sijil Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Beliau berkata pembangunan Pusat Penjaja Putrajaya ini adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan MADANI dan hasrat Perdana Menteri sendiri yang amat menitikberatkan golongan penjaja agar dijaga serta disediakan tempat perniagaan yang teratur dan selesa.

“PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melaksanakan penambahbaikan bagi memindahkan peniaga di bawah Inisiatif Peniaga Kecil Sementara (PKS) dan Inisiatif Usahawan Muda Kota (UMK) yang tidak seragam dan kurang teratur kepada tapak kekal yang lebih sistematik.

“Inisiatif PKS dan UMK dilaksanakan bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggalakkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan belia memulakan perniagaan kecil mereka di mana PPj memberi kelonggaran untuk menjaja di  bahu-bahu jalan.

“Saya ingin mengingatkan kepada kesemua penjaja untuk memanfaatkan peluang dan kemudahan yang diberikan serta meningkatkan kualiti cara kerja dengan beroperasi mengikut waktu, bukan membuka dan menutup kios sesuka hati,” ujarnya.

Fadlun berkata PPj akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada kontrak sewaan sekiranya terdapat penjaja yang tidak mematuhi kontrak dan peraturan terpakai termasuk tidak memiliki lesen perniagaan dan tidak membuka operasi sebagaimana sepatutnya.

“Saya juga ingin menyarankan para penjaja untuk lebih kreatif dan proaktif termasuk memberikan perkhidmatan dan kualiti jualan yang terbaik serta meningkatkan ilmu yang boleh diperolehi dengan mudah dan percuma di hujung jari.

“Bagi memberi peluang kepada lebih ramai penjaja khususnya dalam kalangan warga Putrajaya, PPj dengan sokongan JWP, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membangunkan Pusat Penjaja Putrajaya Fasa 2 di beberapa lokasi baru iaitu di Presint 5, 8 dan 11 di bawah Program Lestari Niaga.

“PPj dengan sokongan JWP juga dalam proses dan dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf pusat-pusat penjaja, medan-medan selera serta kios-kios lain sedia ada yang telah lama dibangunkan untuk menjadikannya lebih kondusif.

“Di samping itu, beberapa lot niaga dan kemudahan kios serta tempat makan baharu dijangka beroperasi awal tahun 2025 iaitu Medan Selera Serambi 8 di Bazar@8, Presint 8, Laman Selera di Presint 6 dan kios baharu di hadapan Kementerian Kewangan Presint 2 dan lot niaga berasaskan kopi dan pastri di Jambatan Putra, Presint 1,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas