Berita

RM16.7 juta pengeluaran Akaun 2 KWSP diluluskan untuk tunai haji sejak 2013

- Diterbit 28 Oktober 2024 1:38 PM MYT

KERAJAAN telah pun meluluskan sebanyak 6, 070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahteran, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan jumlah amaun pengeluaran sebanyak RM 16. 7 juta sejak akaun itu diperkenalkan pada 2013.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata ia bersamaan dengan purata RM 2,759 bagi setiap permohonan.

Hui Ying, berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Abd Ghani Ahmad dari Jerlun mengenai kesediaan kerajaan membenarkan pencarum KWSP yang terpilih mengeluarkan simpanan mereka sebelum mencapai umur persaraan bagi tujuan menunaikan haji.

“Pengeluaran haji telah di perkenalkan sejak 2013 bagi ahli beragama Islam di bawah umur 55 tahun dan terpilih untuk mengerjakan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).

“Pencarum boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera (Akaun 2) untuk membiayai perbelanjaan asas bagi mengerjakan Haji.

“Amaun yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera adalah perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun tabung haji ahli pada masa menerima tawaran haji tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun Sejahtera (mengikut mana yang lebih rendah).

“Sekiranya ahli memerlukan pembiayaan tambahan, ahli boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun Fleksibel (Akaun 3),” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas