Berita

RM147,361 berjaya dikutip menerusi 14 produk pelancongan Putrajaya

ORANG ramai mengunjungi booth PPj di MATTA Fair 2023 yang diadakan di MITEC, Kuala Lumpur pada minggu lalu. - Foto: FARIS AZMI/PPj
- Diterbit 10 September 2023 1:00 AM MYT

SEJUMLAH RM147,361 kutipan jualan bagi 14 produk pelancongan Putrajaya berjaya dikutip sempena penglibatan dalam MATTA Fair 2023 yang diadakan di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur bermula 1 hingga 3 September lalu.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata ia merupakan penyertaan kali kedua oleh pihaknya selepas penganjurannya pada Mac lalu.

“Jumlah keseluruhan kutipan jualan bagi 14 produk tersebut adalah sebanyak RM147,361. Antara produk pelancongan yang mengambil bahagian bersama PPj adalah taman-taman awam Putrajaya, Putrajaya International Convention Centre (PICC), Taman Ekuestrian Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya, Hotel Pulse Grande, Putrajaya Story dan Chocolate Souq Shoppe, Hotel The Everly, Kelab Tasik Putrajaya, Glow Glamping Taman Wetland, Hotel Mercure Living, Kebun Komuniti Putrajaya, Bora Ombak, Nasyrul Quran dan PutraKop.

“Ia merupakan rangka bagi mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan negara selain platform terbaik memasarkan produk-produk pelancongan di pusat pentadbiran negara ini serta pakej-pakej pelancongan yang disediakan secara bersama.

“Saya mengharapkan industri pelancongan di Putrajaya akan terus berkembang sekali gus mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi setempat.

“Sehingga Jun 2023, seramai lebih kurang 8.8 juta pelancong telah berkunjung ke Putrajaya merangkumi pengunjung acara serta pelancong asing.

“PPj sendiri giat mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi mesti lawat (a must visit destination),” jelas beliau mensasarkan sekurang-kurangnya satu juta pelancong asing membanjiri Putrajaya setiap tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas