Berita

RM11 juta diperuntuk bagi Program PEKB

- Diterbit 8 Januari 2025 9:13 PM MYT

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM11 juta bagi pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) Tahun 2025.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, program tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada 1,060 peserta daripada golongan berpendapatan rendah (B40) kumpulan isi rumah terendah.

“Program PEKB melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) merupakan antara inisiatif KPKT dalam merealisasikan hasrat Kerajaan MADANI untuk membendung isu kemiskinan tegar di bandar.

“Program PEKB mula dilaksanakan sejak tahun 2013 dan sehingga kini, KPKT telah memperuntukkan sejumlah RM174 juta bagi melatih seramai 16,955 orang usahawan PEKB di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun 2025, sebanyak 29 NGO pelaksana telah diberi tanggungjawab untuk melatih peserta PEKB.

“Mereka juga perlu memastikan setiap peserta menerima latihan keusahawanan yang berkualiti serta bimbingan secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam mengusahakan perniagaan sendiri.

“Peserta yang terdiri daripada golongan B40 kumpulan isi rumah terendah akan diberikan latihan keusahawanan selama tujuh hari untuk meningkatkan kemahiran dalam pengendalian perniagaan dan keusahawanan.

“Ia bertujuan untuk memastikan peserta PEKB mampu mengusahakan perniagaan dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup agar keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya.

Aiman Athirah berkata para peserta juga turut diberikan peralatan perniagaan selepas tamat menjalani
latihan tersebut bagi membolehkan mereka terus memulakan perniagaan.

“Pihak NGO yang telah dilantik juga akan memantau aktiviti perniagaan peserta PEKB selama enam bulan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM750 iaitu di atas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Per Kapita yang terkini.

“Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI iaitu memastikan tiada rakyat yang terpinggir, KPKT dengan kerjasama strategik NGO kekal komited dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di bawah Program PEKB.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan isu kemiskinan bandar yang semakin membelenggu, sekali gus menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup komuniti khususnya di bandar,” katanya.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2025 telah diadakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas