DALAM usaha membudayakan penabungan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kembali dengan Kempen Cabutan Siri WOW! Merdeka 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 buat 181 pemenang.
Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, penganjuran kempen ini adalah usaha dalam memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.
“Melalui kempen ini, PTPTN menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang.
“Hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk satu pemenang dan hadiah sagu hati berjumlah RM500 untuk setiap 180 pemenang. Kempen ini terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus,” katanya menerusi satu kenyataan.
Norliza berkata tempoh kempen adalah bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos 2024.
“Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen. Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.
“Menariknya, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna myPTPTN. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus, akan mendapat lima cabutan manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat 10 cabutan,” ujar beliau.
Selari dengan tema Hari Kebangsaan bagi tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, Norliza berkata kempen ini sekali gus membantu memerdekakan anak-anak daripada membuat pinjaman pendidikan untuk menyambung pengajian apabila dewasa kelak.
“Semua masyarakat Malaysia hendaklah mengambil peluang menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan kerana kemerdekaan itu bukanlah sekadar berkisar tentang sejarah dan perjuangan semata-mata bahkan kebebasan daripada hutang kewangan dan disiplin dalam membuat penabungan awal untuk pendidikan anak-anak juga adalah sebuah kemerdekaan.
“Pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN selain berpeluang untuk memenangi hadiah yang lumayan sepanjang menyertai kempen ini. Simpan lebih, peluang menang pun lebih,” tambah beliau lagi.
Mengulas lanjut, Norliza berkata Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.
“Selain itu, memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” ujarnya.
Untuk rekod, sehingga 31 Mei 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM18.4 bilion dengan akaun sebanyak 6.4 juta. Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Layarilah portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut. – WILAYAHKU