Berita

RM1 juta naik taraf produk pelancongan Labuan

ZALIHA (kanan) ketika meninjau projek tanaman cendawan baru-baru ini
- Diterbit 16 Disember 2024 5:33 PM MYT

PEMBANGUNAN Labuan khususnya dalam ekonomi dan pelancongan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan dengan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf produk-produk pelancongan sedia ada di Labuan.

Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.66 bilion bagi pelaksanaan 90 program dan projek pembangunan di bawah Rolling Plan 5 Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah memaklumkan peruntukan kepada Labuan itu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, 22  program dan projek baharu manakala 68 merupakan program dan projek sambungan.

“Selain itu, pada lawatan kerja Dr Zaliha baru-baru ini juga turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM1 juta bagi memacu industri pelancongan sedia ada di Labuan.

“Kita ucapkan terima kasih kerana sentiasa berusaha untuk memastikan pembangunan di Labuan terus diperkasakan sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut mengenai perancangan penganjuran Borneo Floral Festival yang bakal diadakan pada Julai tahun depan, Simsudin menzahirkan sokongan penuh dengan cadangan yang dibawa oleh  Zaliha itu bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di pulau tersebut.

Katanya, Labuan kini telah berjaya menganjurkan beberapa festival berprestij seperti Borneo Art Festival (BAF) dan sebagainya yang  mampu menarik kedatangan pengunjung luar serta merancakkan semula ekonomi khususnya kepada pengusaha hotel, restoran dan peniaga-peniaga kecil.

“Dengan penganjuran festival pada tahun hadapan, kita amat yakin ia membawa impak positif kepada ekonomi Labuan. Pihak PL sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan mahu melihat pembangunan khususnya dalam ekonomi dan pelancongan berkembang sepertimana yang telah dirancangkan,” katanya.

Terdahulu, pada lawatan kerja ke Labuan baru-baru ini, Zaliha memaklumkan penganjuran Borneo Floral Festival dijangka mampu menarik kunjungan lebih 50,000 pelancong luar ke Labuan, selain penambahbaikan tarikan pelancongan sedia ada. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas