PROJEK Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun di kawasan MADA Fasa 1 dimulakan melibatkan hampir RM1 bilion dengan keluasan hampir 11 ribu hektar.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus selain melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.
“Pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan sehektar.
“Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata RM65 juta disediakan bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.
“Seterusnya, kesejahteraan pesawah dan nelayan terus dipelihara yang mana sejumlah RM2.78 bilion disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat ketimbang RM2.6 bilion.
“Kerajaan bersetuju menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM84 ribu ketimbang RM56 ribu untuk Semenanjung dan RM90 ribu ketimbang RM68 ribu untuk Sabah dan Sarawak,” katanya. – WILAYAHKU