Berita

RM1.5 juta nilai geran untuk 20 syarikat kaum India diluluskan

- Diterbit 27 November 2024 6:30 PM MYT

SEHINGGA 25 November lalu, sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan geran kepada 20 syarikat perusahaan kecil kaum India ujar Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan.

Beliau berkata manakala 61 permohonan lagi sedang dinilai bagi memastikan mereka memenuhi semua syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

“Penerima kumpulan seterusnya akan menyusul kemudian. Lebih 70 perusahaan kecil milikan usahawan India dijangka menerima bantuan kewangan berjumlah RM6 Juta melalui Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP) oleh SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra dan penyerahan surat tawaran kepada penerima I-BAP.

Program I-BAP telah diumumkan Ramanan pada 27 September yang lalu menawarkan geran padanan sehingga RM100,000 bagi membantu perusahaan kecil milikan usahawan India meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan.

Bantuan ini merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta produktiviti dan kecekapan pengeluaran, adaptasi ICT dan eDagang, penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pensijilan produk dan pelaksanaan aktiviti pemasaran serta promosi.

Sementara itu, Ramanan berkata peruntukan khusus untuk usahawan India melalui I-BAP membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan pembangunan komuniti India.

Beliau berkata ini sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani yang mensasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih saksama dan inklusif.

“Dengan bantuan yang diterima, saya berharap agar usahawan India dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti bagi menambah hasil jualan dan keuntungan perniagaan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy berkata dengan komitmen berjumlah RM6 juta itu, permohonan I-BAP telah ditutup secara rasmi pada 31 Oktober lalu.

Beliau berkata selain peruntukan tambahan di bawah I-BAP, sebanyak RM4.75 juta bantuan kewangan dalam bentuk geran turut diluluskan oleh
SME Corp Malaysia kepada 74 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milikan usahawan India melalui program Business Accelerator Programme (BAP) 3.0 dan Geran Perniagaan Mikro (GPM)”.

“Untuk mengetahui maklumat terkini mengenai bantuan-bantuan yang disediakan oleh SME Corp Malaysia, PMKS boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas