RINGGIT menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding mata wang serantau didorong keyakinan pelabur terhadap agenda pembaharuan kerajaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan kerajaan dilihat meyakinkan susulan penetapan hala tuju jelas melalui kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya, ia disusuli dengan pelaksanaan pembaharuan dasar termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta penyasaran subsidi elektrik, air dan diesel.
“Kerangka Ekonomi MADANI juga disokong melalui kertas dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menetapkan strategi dan fokus pelaburan negara untuk menyokong peralihan ekonomi negara supaya lebih makmur, mampan dan terangkum,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Teks jawapan beliau dalam sesi pertanyaan lisan itu dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin tahu faktor nilai ringgit melonjak naik ke paras RM4.15 dan paras ramalan RM3.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2025.
Menurut Amir Hamzah, pergerakan nilai ringgit pada tahun ini didorong oleh perkembangan dalam pasaran global dan prestasi asas domestik yang kukuh.
Katanya, sejak 2022, kadar dasar yang lebih tinggi di negara ekonomi utama telah menarik dana pelabur dari negara membangun termasuk Malaysia.
“Dengan peralihan pendirian dasar monetari ekonomi utama global, terutamanya Amerika Syarikat (AS) yang telah mula menurunkan kadar dasar, tingkah laku (sentimen) pelabur turut berubah berikutan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil.
“Perkembangan ini menyebabkan kesanggupan mengambil risiko (risk appetite) pelabur terhadap mata wang pasaran yang pesat membangun (emerging market currencies) termasuk ringgit meningkat,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, asas ekonomi negara juga bertambah kukuh dengan pertumbuhan suku kedua tahun ini mencapai 5.9 peratus berbanding suka pertama iaitu 4.2 peratus.
Selain itu jelasnya, pengangguran terus menurun ke paras 3.2 peratus pada Ogos selaras dengan keadaan sebelum Covid-19.
“Inflasi pada Ogos lalu pada 1.9 peratus kekal pada tahap terkawal berbanding dua peratus untuk tiga bulan sebelumnya.
“Selain itu, pelaburan yang diluluskan, perdagangan serta indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi yang lebih kukuh serta sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan pendapatan pelaburan asing dibawa balik dan ditukarkan kepada ringgit oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat.
“Langkah ini membantu mewujudkan aliran dua hala yang lebih rancak dalam pasaran pertukaran asing domestik seterusnya membantu mengukuhkan nilai ringgit,” katanya. – WILAYAHKU