Berita

‘Rindu, sedih semua ada… Berduet dengan arwah abah amat bermakna buat saya’ – Syafiq Farhain

- Diterbit 27 Mac 2025 1:33 PM MYT

SEBELUM ini kita pernah ‘dihidangkan’ dengan nyanyian duet secara digital beberapa artis Malaysia.

Antaranya KRU dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan mendiang Whitney Houston.

Apa yang istimewa, kali ini terubat rindu peminat apabila penyanyi kacak Syafiq Farhain berduet bersama arwah ayahnya, Saleem dengan menggunakan rakaman lagu asal Cinta Di Hari Raya.

“Alhamdulillah, lagu Cinta Di Hari Raya sedikit sebanyak mengubat rindu di hati peminat.

“Namun ada yang kata ini gimik semata-mata. Tapi bagi saya seorang anak, rindu kepada insan yang bernama abah, tak pernah sedikit pun berkurang.

“Sesiapa yang pernah berasa kehilangan pasti akan rasa benda yang sama,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya.

Syafiq yang juga seorang anggota bomba ini berkata, antara sebab projek rakaman lagu ini dibuat adalah kerana mahu meneruskan legasi ayahnya.

“Ini merupakan salah satu usaha saya sebagai seorang anak yang ingin meneruskan legasi arwah abah.

“Kerana kita sendiri pun tak pasti berapa lama sesuatu karya itu mampu bertahan dan mungkin jua akan lenyap dimamah waktu,” ujarnya.

Menerusi hantaran berbeza pula, lagu Cinta Di Hari Raya itu memberi pengertian besar buat dirinya.

“Rindu, sedih, semua ada apabila lihat hasil projek (lagu) saya kali ini. Walaupun hanya sekadar suntingan audio dan video, begitu bermakna buat saya.

“Harapan saya buat penonton dan pendengar, semoga terubat rindu kalian kepada arwah dan mesej yang ingin disampaikan menyemai kesan di hati kalian,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas