Fokus

‘Rindu ibu pada Umar tidak akan hilang’

- Diterbit 3 April 2025 12:00 PM MYT

AINI MAWAWI & SERIMAH SALLEHUDDIN

KATA orang, jika seorang anak pergi mendahului ibu bapa mereka, ia adalah kehilangan yang paling menyakitkan bagi kedua-dua orang tua apatah lagi jika pemergian tersebut dalam keadaan tragis. Sudah pasti seumur hidup belum tentu dapat meluputkan rasa ‘sakit’ yang dirasai.

Begitulah apa yang dilalui oleh Nurul Izzati Barni, 31.

Kehilangan anak bongsu kesayangannya, Che Umar Rais, 5, yang lemas dalam kolam renang ketika mereka sedang bercuti merupakan tamparan hebat baginya yang ketika itu anak kecil tersebut berada dalam jagaannya.

Berkongsi kisah menyayat hati tersebut dengan Wilayahku, wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini masih diselubungi rasa bersalah biarpun apa yang terjadi adalah takdir yang telah tertulis.

“Sampai hari ini saya rasa sangat bersalah dan tak boleh hilangkan rasa terkilan tersebut. Dalam fikiran ini tak habis-habis saya terfikir kalaulah aku tak lalai mesti Umar masih ada, saya rasa sangat down sebab masa kejadian saya yang jaga dia.

“Sebagai seorang ibu saya rasa sangat terpukul, anugerah yang saya sayang hilang sekelip mata. Sakitnya rasa itu sampai sekarang tak dapat nak digambarkan, siang malam menangis apabila teringatkan dia,” katanya dalam esak tangis.

Tambah hiba, sebelum menghembuskan nafas terakhir, anaknya itu berada dalam keadaan koma selama lebih empat bulan dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

“Selama 19 hari Umar di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), nadi dia pernah terhenti seketika tetapi kuasa Allah membuatkan dia bernafas kembali. Selepas itu, dia dipindahkan ke wad separa kritikal Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Waktu itu saya yakin, dia dengar apa yang saya cakap, saya suruh dia kuat sebab saya tunggu dia. Air mata dia mengalir dan dia genggam tangan saya biarpun dia tak sedarkan diri. Ketika itu, saya masih berharap dia sedar biarpun doktor ada beritahu, kalau dia sedar, keadaan dia tidak normal lagi, tetapi saya tak peduli asalkan boleh tengok lagi senyum dia.

“Apapun siapalah kita untuk menolak takdir, Umar tetap pergi juga tinggalkan saya, suami serta dua orang abang dia,” jelasnya.

Kisah si kecil ini pernah tular di laman sosial dan berjaya meruntun hati warganet apabila Izzati tidak jemu berkongsi detik Umar terlantar di hospital.

“Bila Umar dah tiada, kami sekeluarga rasa kosong, rindu sangat Umar, rumah yang dulu ceria dengan gelak tawa dia jadi suram. Abang-abang dia pun rasakan yang sama. Mereka berdua sentiasa menziarahi kubur Umar dua kali sehari.

“Kalau nak ikutkan perasaan, memang saya rasa hilang arah, sebab dia selalu menemani saya ke mana-mana sahaja tetapi saya sedar perlu sentiasa kuat sebab suami dan dua orang lagi anak perlukan saya.

“Masa akan terus berlalu tapi ingatan saya pada dia semakin kuat, kadang-kadang terjaga dari tidur, saya tercari-cari sampai terlupa sebenarnya dia dah tiada,” katanya yang rindu untuk menatap wajah Umar biarpun sekadar dalam
mimpi.

Ditanya tentang persiapan menyambut Aidilfitri, Izzati berkata mereka sekeluarga tidak melakukan sebarang persiapan kerana masih berduka.

“Kalau tahun lepas, dialah yang paling teruja sambut raya tapi tahun ini setiap memori manis tersebut sentiasa singgah dalam ingatan saya menjadikan saya makin sengsara,” katanya tahun ini keluarganya dan suami akan beraya bersama-sama di Alor Setar untuk mengubat kerinduan terhadap arwah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas