SEBNAYAK 3,000 peserta dijangka menyertai acara berbasikal RHB WCE Century Ride di Lebuhraya Pantai barat (WCE) pada 19 Mei depan.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad berkata acara yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir di Perak.
Pendaftaran bagi acara berbasikal itu dibuka esok dan mereka yang berminat boleh mendaftar di www.wcecenturyride.com.
Acara berbasikal itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 28 kilometer (km), 90km dan 160km dan tiga pelumba terbaik dalam kategori 90km dan 160km berpeluang membawa pulang wang tunai RM600 hingga RM3,000.
“Ini merupakan komitmen berterusan kami untuk mempromosikan gaya hidup sihat, memupuk hubungan komuniti dan menyokong perniagaan tempatan. Acara berbasikal ini memenuhi kehendak ramai daripada pelumba profesional kepada keluarga dan kawan-kawan yang mencari aktiviti berbasikal santai.
“Kami percaya berbasikal bukan sekadar sukan tapi juga cara untuk menyatukan masyarakat pelbagai peringkat umur,” katanya pada pelancaran hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd Lyndon Alfred Felix berkata kayuhan itu membabitkan laluan dari Lekir ke jajaran Beruas-Taiping Selatan yang baharu dibuka dan kembali ke Lekir, meliputi jarak 160km.
“Kami teruja dan mengalu-alukan peserta termasuk pelumba antarabangsa dan tempatan untuk menyertai kayuhan ini.
“Pencapaian ini mempunyai keistimewaan kerana ia merupakan acara berbasikal terbesar pertama sejak pembukaan lebuh raya WCE pada 2019 di samping mempromosikan kemajuan dengan membawa masyarakat bersama,” katanya. – BERNAMA